klik2 dapat duitt

Pengikut Blog Saya

JOM SHOPPING!

Tuesday, November 22, 2011

PEMAAF

“Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.” (Hadis Riwayat Hakim)
Pemaaf adalah sikap suka memberi maaf terhadap kesalahan orang lain tanpa ada sedikit pun rasa benci dan dendam di hati. Sifat pemaaf adalah salah satu manifestasi daripada ketakwaan kepada Allah.
Sebagaimana firman-Nya,
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
(Ali Imran 3:133-134)
Islam mengajar umatnya untuk bersikap pemaaf dan suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menunggu permohonan maaf daripada orang yang berbuat salah kepadanya. Tidak ditemui satu ayat yang menganjurkan untuk meminta maaf, tetapi yang ada ialah perintah untuk memberi maaf.
Ada kalanya seseorang berbuat salah dan menyedari kesalahannya serta berniat untuk meminta maaf, namun ia terhalang oleh hambatan psikologi untuk menyampaikan permintaan maaf. Apatah lagi jika orang itu merasa status sosialnya lebih tinggi daripada orang yang akan diminta maafnya. Contohnya seorang pemimpin kepada orang yang dia pimpin, orang tua kepada anaknya, atau yang lebih tua kepada yang lebih muda. Barangkali, itulah salah satu hikmah kenapa Allah memerintahkan kita untuk memberi maaf sebelum diminta maaf itu.
Memberi maaf haruslah disertai dengan ketulusan hati dan berlapang dada, sehingga tidak tersisa rasa dendam atau keinginan untuk membalasnya. Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 22:
“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Berlapang dada dalam bahasa Arab disebut as-safhu yang secara etimologinya bererti lapang. Halaman pada buku dinamai safhah kerana kelapangan dan keluasannya. Dari sini as-safhu dapat diertikan sebagai kelapangan dada. Berjabat tangan dinamai musafahah, kerana melakukannya bererti berkelapangan dada.
Diibaratkan kita tersalah sewaktu menulis di sebuah lembaran kertas, kesalahan itu kita padam dengan alat pemadam. Dengan apapun kita menghapusnya, tentu akan meninggalkan kesan, bahkan barangkali kertas tersebut menjadi robek.
Justeru, supaya lebih bersih dan rapi, kertas yang terdapat kesalahan tulisan padanya itu diganti saja dengan lembaran yang baru. Memaafi diibaratkan menghapus kesalahan pada kertas, sedangkan berlapang dada diibaratkan mengganti lembaran kertas yang salah dengan lembaran yang baru.
Rasulullah s.a.w., pemilik akhlak yang paling mulia, dengan keagungan akhlaknya telah memberikan suri teladan kepada umatnya. Antaranya ialah sikap pemaaf. Salah satu sikap pemaaf baginda dapat kita semak dalam kisah ini:
Dalam peperangan Khaibar, Zainab binti al-Haris, iaitu isteri Salam bin Miskan, salah seorang pemuka Yahudi, memberikan hadiah kambing bakar yang telah matang kepada Rasulullah s.a.w. Zainab bertanya kepada Rasulullah tentang anggota badan kambing yang disukai baginda, lalu ada yang menjelaskan kepadanya bahawa yang disenangi Rasulullah adalah paha kambing.
Zainab pun membubuh racun sebanyak-banyaknya pada paha kambing dan menghidangkannya kepada Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mengambil sedikit daging paha kambing tersebut dan mengunyahnya, tetapi tidak menyukai rasanya.
Bisyar al-Barra’ bin Ma’ruf yang saat itu bersama Rasulullah s.a.w. ikut menyantap daging paha kambing tersebut. Rasulullah memuntahkan kembali daging kambing yang beliau kunyah, kemudian berkata: “Sesungguhnya tulang ini memberi tahu kepadaku bahawa dia diberi racun.”
Zainab dipanggil dan ditanya tentang hal tersebut, dan dia pun mengakui perbuatannya. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab tentang perbuatannya itu. Zainab menjawab, “Engkau tahu bagaimana engkau telah menakluki kaumku, lalu terlintas di hatiku untuk mengujimu dengan racun itu. Jikalau Muhammad seorang raja, maka aku akan aman daripada tindakannya (mati lantaran memakan daging paha kambing yang telah diberi racun), dan jikalau dia memang seorang nabi, tentu dia akan diberitahu (tentang daging yang beracun itu). ” Lalu Zainab dimaafkan oleh Rasulullah s.a.w., sedangkan Bisyar al-Barra’ yang telah memakannya, meninggal dunia.
Sebenarnya pengakuan Zainab hanya dusta belaka. Dia benar-benar berniat untuk berbuat jahat terhadap Rasulullahs.a.w. Walaupun demikian, niat jahatnya itu telah diampuni oleh Rasulullah berkat sifat pemaafnya dan kelapangan dadanya.
Kisah di atas adalah satu daripada sekian banyak kisah tentang keluhuran budi pekerti dan akhlakul karimah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Betapapun besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri baginda, tidak sedikit pun baginda menaruh benci, apatah lagi dendam untuk membalasnya. Bahkan pintu kemaafan selalu baginda buka dengan lebar bagi siapa saja yang bermaksud untuk berlaku jahat dan menganiaya baginda.
Perlu disedari, bahawa di dunia ini tidak ada seorang pun yang tidak pernah berbuat kesalahan. Maka hal yang terbaik bagi setiap diri adalah menyedari akan kesalahan yang pernah dilakukannya, kemudian bersegera untuk memohon maaf atas kesalahannya itu.
Jika kesalahan itu terhadap Allah s.w.t., maka bersegeralah memohon keampunan-Nya. Dan jika kesalahan itu terhadap sesama manusia, maka bersegeralah meminta maaf daripadanya.
Paling utama adalah jika ada yang pernah berbuat kesalahan terhadap kita, maka maafkanlah kesalahannya, sekalipun orang yang berbuat kesalahan itu tidak pernah memohon maaf daripada kita. Kerana ketahuilah, bahawa dengan begitu rahmat Allah akan senantiasa meliputi kita. Allahu a’lam.


SUmber dari cini >>>>>> 
Post a Comment

Jom Klik2

My Beloved Husband Birthday

My Beloved Princes Birthday

My Birthday