TETAMU SAYA

Showing posts with label Pentadbiran Awam. Show all posts
Showing posts with label Pentadbiran Awam. Show all posts

Sunday, May 27, 2012

SYOR CUTI TANPA REKOD STAF AWAM WANITA


Utusan Malaysia
26/5/2012

KOTA KINABALU 25 Mei - Penjawat awam wanita yang telah berkeluarga mungkin mendapat imbuhan baru apabila Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan mereka diberi cuti tanpa rekod 14 hari setahun.Presidennya, Datuk Omar Osman  berkata, mengambil kira banyak perkara yang terpaksa diuruskan oleh golongan tersebut, pihak kesatuan bersetuju mengusulkan perkara itu bagi dibincangkan dalam lembaga suruhanjaya.
Katanya, cuti tanpa rekod yang diberikan oleh kerajaan 14 hari setahun itu boleh dianggap sebagai satu lagi cara kerajaan menghargai sumbangan golongan penjawat awam wanita terhadap pembangunan negara."Cadangan itu dibuat atas dasar kebajikan dan menghargai sumbangan penjawat awam wanita yang telah berkeluarga kerana mereka banyak terlibat dalam menguruskan hal keluarga," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam bersama Presiden CUEPACS di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Omar berkata, sejak cuti rehat dikurangkan pada 1 Januari 2009 dan waktu anjal berkhidmat golongan wanita ditamatkan, golongan wanita sering berhadapan dengan masalah kehabisan cuti.Menurutnya, mereka terpaksa menguruskan pelbagai masalah dan hal keluarga yang menyebabkan golongan tersebut habis cuti tahunan dengan lebih cepat berbanding lelaki.
Katanya, meskipun cuti umum sudah banyak di negara ini, ia dilihat masih tidak cukup untuk golongan tersebut kerana mereka turut dibebani dengan banyak tanggungjawab lain.
Sementara itu, kata Omar, cadangan lain yang akan dikemukakan kepada lembaga suruhanjaya adalah berhubung pengeluaran gratuiti lebih awal kepada pekerja yang telah berkhidmat selama 20 atau 25 tahun.
Menurutnya, golongan tersebut dicadangkan boleh mengeluarkan pampasan kerja itu pada kadar 20 atau 25 peratus untuk kegunaan membaiki rumah, mengerjakan umrah dan menyambung pelajaran bagi diri sendiri atau ahli keluarga. Jelasnya, ia dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk mengurangkan kadar golongan penjawat awam yang berhutang.

Saturday, May 26, 2012

4 CADANGAN CUEPACS -HARGAI 630,000 PENJAWAT WANITA


  • Bersalin di hospital swasta sehingga anak ketiga
  • Wad kelas satu hospital kerajaan untuk bersalin anak keempat dan seterusnya
  • Cuti bersalin tiga bulan gaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh
  • Cuti tanpa rekod 14 hari diperluas bagi urusan kecemasan keluarga terdekat


KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta dengan cuti tiga bulan bergaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh berbanding lima sekarang.

Kesatuan itu mencadangkan mereka bersalin di hospital swasta yang dilantik sebagai panel oleh kerajaan hanya sehingga kelahiran ketiga dan kemudahan wad kelas pertama hospital kerajaan untuk anak berikutnya.

Cadangan itu bertujuan menghargai sumbangan kira-kira 630,000 penjawat awam wanita yang meliputi 45 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam. Ia akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan Sistem Saraan Baru (SSM) yang ditubuhkan nanti.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata mereka perlu diberi kemudahan itu kerana hospital kerajaan selalu padat dan menjadi tumpuan semua peringkat rakyat serta pendatang asing.

“Ketika ini, penjawat awam yang mendapatkan rawatan di hospital swasta perlu menanggung sendiri kos atau menggunakan polisi insurans peribadi. Kerajaan hanya menanggung sepenuhnya kos bersalin di hospital kerajaan.

“Penjawat awam wanita juga harus diberi cuti bersalin selama tiga bulan bergaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh untuk menyuntik motivasi ke arah mencapai sasaran 70 juta penduduk Malaysia.

“Kini tidak ramai yang minat menambah bilangan anak kerana beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Jika bersalin lebih daripada lima, mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, CUEPACS meminta kerajaan memperluaskan cuti tanpa rekod 14 hari setahun untuk urusan kecemasan keluarga terdekat, berbanding sekarang hanya untuk urusan mewakili negara atau negeri dalam program tertentu seperti bidang sukan.

Omar berkata, semakan mendapati penjawat awam wanita lebih cepat menghabiskan cuti tahunan berbanding lelaki atas pelbagai urusan atau masalah keluarga, terutama mereka yang terpaksa menjaga anak sendirian kerana tinggal berjauhan dengan suami.

“Apabila cuti habis, mereka terpaksa berkorban mengambil cuti tanpa gaji bagi urusan kecemasan seperti anak sakit. Masalah ini menjadi keluhan ramai kakitangan wanita dan sering dibangkitkan dalam dialog kami.

“Oleh itu, amat wajar cuti tanpa rekod diperluaskan kepada urusan kecemasan membabitkan keluarga terdekat seperti suami/isteri, anak, ibu bapa dan mentua dengan syarat cuti tahunan mereka sudah habis,” katanya.

Ketika ini, kakitangan awam mendapat cuti tahunan antara 20 hingga 30 hari bergantung kepada gred perjawatan mereka
 
 
 SUMBER >>>>http://cuepacs.blogspot.com/