TETAMU SAYA

Showing posts with label SBPA. Show all posts
Showing posts with label SBPA. Show all posts

Tuesday, March 20, 2012

SBPA : 36 PEGAWAI PREMIER SETUJU PULANGKAN KENAIKAN


SUMBER DARI : Sinar Harian
20 Mac 2012


PUTRAJAYA - Kesemua 36 pegawai atasan kakitangan awam dalam Kategori Perkhidmatan Utama yang menerima gaji baru di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan, bersetuju untuk memulangkan ‘kenaikan’ yang diterima baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, ini berikutan pembatalan skim itu dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, mereka telah bersetuju untuk memulangkan kenaikan itu (di bawah SBPA).

“Lebih daripada separuh telah kembalikan manakala yang lain tidak sempat kerana berada di seberang laut,” katanya kepada pemberita selepas majlis syarahan “Chief Secretary Annual Lecture Series: The Fifth Estate - A space for
Academia?” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa 36 pegawai atasan kakitangan awam telah menerima kenaikan gaji antara RM35,000 hingga RM60,000, di bawah SBPA.

SBPA diperkenalkan awal tahun ini telah mengundang keresahan dan tidak puas hati di kalangan penjawat awam, dan kerajaan pada 12 Jan lalu memutuskan supaya skim itu dikaji semula.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan pengembalian kepada SSM yang ditambah baik.

Mengenai penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji penambahbaikan SSM, Mohd Sidek berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan bincang dengan pihak-pihak yang tertentu dan akan umumkan,” katanya. - Bernama

Saturday, February 25, 2012

NAJIB BAKAL BUAT PENGUMUMAN YANG ADIL DAN SAKSAMA BAGI PENJAWAT AWAM


Bernama
24/2/2012



PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan 45 minit dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.

"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.

Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan.

-- BERNAMA

PM BUAT KEPUTUSAN ADIL DALAM MASA TERDEKAT


Utusan Malaysia
24/2/2012




PUTRAJAYA 23 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan satu keputusan yang adil dan saksama untuk semua penjawat awam dalam tempoh terdekat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, keputusan tersebut melibatkan keseluruhan penjawat awam serta soal soal pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
''Kita tunggu (sama ada ia menggembirakan atau tidak). Kita belum tahu keputusan itu tetapi telah diberi gambaran dan kita rasa ia merupakan gambaran yang jelas dan baik.
''Tidak kira apa jua pengumuman itu, kita menghormati keputusan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan selama 45 minit dengan Najib di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Selain Perdana Menteri, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS.
Semalam, Omar dilaporkan berkata, CUEPACS menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.
Menggambarkan pertemuan hari ini sebagai harmoni dan ceria, Omar berkata, perbincangan dengan Najib itu bagaimanapun tidak menyentuh beberapa tuntutan CUEPACS termasuk berkaitan kenaikan gaji.
''Pertemuan ini dijalankan bagi menyampaikan maklum balas penjawat awam mengenai SBPA. Kita tidak membentangkan hasil bengkel termasuk mengenai tuntutan kenaikan gaji.
''Kerja-kerja petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai SBPA juga belum selesai," katanya.
Dalam pada itu, Omar memberitahu, satu perhimpunan penjawat awam besar-besaran melibatkan 15,000 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak akan diadakan di Stadium Bukit Jalil di ibu negara.
''Perhimpunan ini akan turut dihadiri Perdana Menteri dan pihak CUEPACS mencadangkan ia diadakan pada 12 Mac, perkara ini akan ditujukan kepada pihak KSN untuk pengesahan tarikh," katanya.
Sementara itu, Omar berkata, Najib pada pertemuan hari ini telah melahirkan sokongan terhadap penubuhan Kelab Pesara Kumpulan Pelaksana yang baru ditubuhkan.
''Satu perhimpunan oleh ahli kelab akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, tarikhnya belum ditentukan," katanya.

SBPA: PENGUMUMAN PENTING NAJIB 12 MAC?


Sinar Harian
23 Februari 2012


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan
Najib Tun Razak
itu.
Omar berkata, Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi
kebaikan penjawat awam.
"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.
Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - Bernama

Wednesday, February 22, 2012

JIKA ISU INI TAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN...


Utusan Malaysia
ISU ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan.
Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina.
Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.
Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.
Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.
‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.
Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas.
Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.
Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).
Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.
Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:
* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)
* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)
* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)
* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)
Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta.
Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.
Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.
Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana.
Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.
Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.
Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.
Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat.
Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi?
Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam?
Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.
Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.
Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…''
Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.)
Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.
Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

CUEPACS TUNTUT KENAIKAN GAJI RM700 - RM2,500 UNTUK GRED 1 HINGGA GRED 54


Berita Harian
23/2/2012


PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54. Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54
(RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini hari ini.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap
maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan
selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan
gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun
lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar
tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap
Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.
"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah
lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.

"Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa
berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji,
sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang
di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam
SBPA.

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai
rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs
lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan
jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan
gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan
disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu
ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.-- BERNAMA

Monday, January 30, 2012

ISU SBPA: 5 TUNTUTAN CUEPACS


Berita Harian
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my
2012/01/28



pix_gal0
Presiden CUEPACS beri kata dua tarik diri jika syarat tidak dipenuhi

  • Kaji semula pindaan gaji Gred 54 ke bawah Kaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum
  • Kaji kekananan dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA
  • Kaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus
  • Semak penstrukturan semula semua gred penjawat awam

    GEORGETOWN: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan tumpuan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan, terutama bagi penjawat awam gred 54 dan ke bawah.
  • Wednesday, January 25, 2012

    SBPA: TEMPOH 3 BULAN WUJUDKAN SKIM TERBAIK


    Utusan Malaysia
    25/1/2012



    KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.
    Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.
    "Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.
    "Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
    Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.
    Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'
    Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.
    "Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.
    Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.
    "Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.

    Thursday, January 12, 2012

    TANGGUH LAGI?

    CYBERJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu, ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak. "Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut," katanya kepada media di sini hari ini. Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA bagi memastikan semua penjawat awam berpuas hati. Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, Cupeacs faham akan keprihatinan Perdana Menteri dalam menuntut hak sama rata bagi semua penjawat awam supaya tidak timbul ketidakseimbangan dalam kenaikan gaji. “Cuepacs faham apa yang kerajaan cuba lakukan, dan itu resolusi terbaik supaya penjawat awam tidak merasa tersisih dalam menerima insentif dan saraan baru kerajaan itu,” katanya. Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam. Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam. Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari. Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari. Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia. "Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

    Wednesday, December 28, 2011

    JPA, CUEPACS LAKUKAN BEBERAPA PINDAAN SEGERA TAMBAH BAIK SBPA


    PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju melaksanakan beberapa pindaan segera untuk menambah baik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan lebih empat jam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

    Beliau berkata antara pindaan itu ialah markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dikurangkan daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji.

    Selain itu, markah 'Exit Policy' turut dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus, dan tempohnya dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan.

    "Taklimat ini melihat cadangan CUEPACS ada yang diterima dan ada yang dikaji semula. Kami berasa lega kerana berjaya mencapai satu keputusan bersama dalam SBPA," katanya kepada pemberita di lobi pejabat JPA.

    Terdahulu, Omar bersama pemimpin dan ahli majlis CUEPACS menghadiri taklimat yang memberi gambaran terperinci berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan ini.

    Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan CUEPACS dan JPA segera berunding bagi menyelesaikan isu itu.

    Omar berkata CUEPACS menerima SBPA dan menyarankan penjawat awam menandatangani surat tawaran JPA.

    Beliau juga berkata JPA dan CUEPACS setuju mengadakan rundingan bersama setiap tiga bulan bagi membuat semakan dan kajian menyeluruh untuk menambah baik SBPA.

    Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.

    -- BERNAMA

    Sunday, December 25, 2011

    Pelbagai penambahbaikan skim baru penjawat awam masih samar, tiada hitam putih


    BUDAYA mengugut seperti didakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya 1.4 juta kakitangan awam ‘menandatangani borang kosong’ opsyen penerimaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh dua minggu, mulai 16 Disember lalu perlu diselesaikan segera kerana ia bukan perkara mudah seperti dianggap JPA.

    Kekecewaan diluahkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman sehingga mahu mengadu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini, khususnya mengenai kelemahan skim baru berkenaan seharusnya membuka mata kepada pelbagai pihak, khususnya Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

    Mekanisme pelaksanaan skim pemisah atau exit policy dalam SBPA bagi mereka yang menerima markah kurang daripada 70 peratus bagi tiga tahun berturut-turut selepas penilaian dibuat pegawai mereka, sekali gus boleh dibersarakan awal berbanding 50 peratus ketika Skim Saraan Malaysia (SSM) dan kegagalan JPA menyediakan jadual tangga gaji SBPA untuk diteliti kakitangan awam menjadi isu pokok yang dipertikaikan CEUPACS.

    Ini belum lagi membabitkan soal kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. Paling janggal apabila JPA tidak memanggil langsung wakil CUEPACS ketika merangka SBPA, sedangkan ia membabitkan masa depan 1.4 juta kakitangan awam.

    “Saya yakin Perdana Menteri tidak tahu wujud kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab (JPA) menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham masalah kami.

    “Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim itu sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri,” kata Omar ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM), tiga hari lalu.
    SBPA diumumkan Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada Oktober lalu bagi menggantikan SSM mulai awal tahun depan, menawarkan pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam melalui skim pencen, pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

    Matlamat murni SBPA mahu mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi pada masa depan pastinya akan menempuh onak dan duri jika pada peringkat mahu dilaksanakan lagi menimbulkan pelbagai persoalan, selain mendapat bantahan kesatuan yang memayungi perkhidmatan awam.

    “Ini hanya mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar minum bersama pegawai di kantin pejabat supaya mereka dinilai dengan markah yang baik setiap tahun,” kata Omar.

    Sama ada sedar atau tidak, JPA seharusnya memikirkan kesan jangka panjang yang perlu ditanggung kerajaan, terutama ketika kepemimpinan negara di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sedang rancak menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

    Mahu atau tidak, perlu diakui, Parlimen Putrajaya menempatkan pusat pentadbiran kerajaan amat memerlukan sokongan kakitangan kerajaan yang ketika ini menjadi 90 peratus daripada pengundi di kawasan itu. Paling menarik, 90 peratus daripada pengundi di situ adalah daripada kumpulan sokongan.

    Hakikatnya, kakitangan awam adalah penyokong kuat kerajaan dan sewajarnya suara hati mereka didengar dan diberikan perhatian. Mereka bukan meminta di luar kemampuan kerajaan, sebaliknya mengharapkan kerajaan membela hak atau sekurang-kurangnya mendengar dulu masalah mereka. Ini peluang terbaik bagi kerajaan, khususnya JPA mendengar rungutan mereka sebelum PRU-13 datang.

    Pilihan raya umum pada 1999 menyaksikan Terengganu di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ‘terlepas’ daripada BN ke tangan PAS kerana ‘gelombang hijau’ begitu ketara dalam kalangan kakitangan awam. Pendekatan ‘Acu Ubah Sekali’ berjaya menguasai minda kakitangan awam yang akhirnya mengundi pembangkang, selain faktor ‘cah keting’ dalam kalangan kepemimpinan UMNO negeri ketika itu.

    Keprihatinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menghargai usaha CUEPACS mahu menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA memperlihatkan komitmen beliau yang mahu isu ini diselesaikan segera.

    “Tujuan kerajaan ialah membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi jika mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan supaya perkara itu boleh ditangani,” katanya sekali gus menggambarkan ruang perbincangan antara JPA dan CUEPACS masih terbuka luas.

    Kita berharap ‘kata dua’ Abu Bakar sebelum ini hanya penjawat awam yang mempunyai alasan munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh 31 Disember ini seperti sakit atau berada di luar negara dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama, sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan dikaji semula demi mendapatkan keadaan ‘sama-sama menang.’

    Dasar pemisah atau exit policy yang ketika ini menjadi isu utama SBPA sewajarnya diteliti semula bagi mengelakkan pandangan kononnya dasar itu sama seperti mahu dilaksanakan pembangkang, terutama DAP bagi mengurangkan jumlah kakitangan awam jika berjaya menguasai Putrajaya.

    Sunday, December 11, 2011

    CUEPACS nasihat penjawat awam tunggu keputusan kongres





    2011/12/11

    KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam agar menunggu keputusan kongres khas kesatuan minggu depan, sebelum menerima Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ini kerana kongres yang akan diadakan selama tiga hari bermula Rabu itu, akan meneliti dan membincangkan secara terperinci semua aspek dalam SBPA.

    "Kita memang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam tetapi kita tidak boleh membuat keputusan kerana kita mahu mendengar semua pendapat penjawat awam termasuk semua wakil gred dalam perkhidmatan mengenai skim baru itu.
    "Kita akan buat keputusan bersama. Kalau yang kurang di mana mahu tambah, kalau mahu kaji yang mana mahu dikaji semula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden CUEPACS, di sini, hari ini.

    Katanya, adalah penting bagi penjawat awam memahami dengan jelas skim tersebut sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan sebarang masalah selepas ini.

    "Tidak perlu tergopoh-gapah untuk segera tandatangan borang opsyen terima skim baru itu sebelum mendengar dengan teliti apa yang terkandung dalam skim itu," katanya.

    Omar berkata, terdapat juga rungutan mengenai tempoh menandatangani persetujuan memilih skim itu yang terlalu singkat dari 15 hingga 31 Disember ini, memandangkan ramai penjawat awam sedang bercuti pada tempoh tersebut.
    Selain itu katanya, mereka juga masih tidak mendapat gambaran sebenar apa yang terkandung dalam SBPA.

    Omar berkata, kongres yang akan diadakan di Perlis itu juga akan membincangkan keperluan memohon kepada kerajaan agar melantik seorang senator bagi mewakili kepentingan penjawat awam.

    "Jumlah penjawat awam di Malaysia ini besar dan perlu ada wakil sebagai senator di Dewan Negara," katanya.

    Beliau turut meminta penjawat awam membuat keputusan rasional pada pilihan raya umum akan datang dan memilih parti yang benar-benar mampu memperjuangkan hak mereka.

    Katanya, kerajaan kini banyak berjasa kepada mereka dan banyak kehendak penjawat awam sudah dipenuhi.

    "Kita tidak memaksa mereka untuk memilih siapa yang mereka mahu tetapi perlu kebijaksanaan untuk membuat keputusan terbaik," katanya. - BERNAMA