Utusan Malaysia
ISU
ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan
lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya
boleh diadakan.
Ia
membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang
kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah
‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana
penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon,
begitu marah kerana dihina.
Jangan
cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan
tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka
boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam
watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.
Dalam
hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat
sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai
maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu,
YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force)
semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini,
setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.
Setakat
ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi
rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan
lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan
itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat
Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.
‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.
Omar
seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam
rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan
54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib
mereka ke atas.
Kumpulan-kumpulan
itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai
Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah;
Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54;
Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain
gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.
Hari
ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh
seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara
profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim
baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).
Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.
Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:
* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)
* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)
* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)
* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)
Kumpulan
pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan
Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan
seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga
umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji
selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja,
mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan
ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan
KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan
Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC
atau di perbadanan-perbadanan swasta.
Isu
penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan
gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi
RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus!
Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara
RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di
antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.
Difahamkan
di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000
sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3
RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan
pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.
Secara
logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu
berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta
mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri
daripada kumpulan pelaksana.
Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.
Sebagai
rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan
kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara
tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.
Pihak
JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA
tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA
perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.
Adalah
menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan
ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA
merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada
negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Kerajaan
juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang
bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi
menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua
kumpulan penjawat awam dan rakyat.
Dengan
kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh
kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya
terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta
gaji yang sebegitu tinggi?
Sekiranya
dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah
peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan
key positions dalam perkhidmatan awam?
Begitu
bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit
dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama
strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.
Yang
mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan
berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan
untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan
peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.
Kita
berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang
menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang
amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata
dua…''
Kita
berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum
dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry.
You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya
tidak akan sukakan saya jika saya marah.)
Saya
berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi
kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.
Ingatlah
YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak
masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak
sebelanga.
3 comments:
mmg panas isu nie.....lieya pun malas nak balik ngundi kalo cam resultnye same cam dulu huhuhu....
tau xpe...kene pijak2 kite peon2 nih kan...
lieya : hope ada gud news untuk kiter semua..aminnn
ana : Allah kan ada.. sabor2
Post a Comment