TETAMU SAYA

Sunday, May 27, 2012

SYOR CUTI TANPA REKOD STAF AWAM WANITA


Utusan Malaysia
26/5/2012

KOTA KINABALU 25 Mei - Penjawat awam wanita yang telah berkeluarga mungkin mendapat imbuhan baru apabila Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan mereka diberi cuti tanpa rekod 14 hari setahun.Presidennya, Datuk Omar Osman  berkata, mengambil kira banyak perkara yang terpaksa diuruskan oleh golongan tersebut, pihak kesatuan bersetuju mengusulkan perkara itu bagi dibincangkan dalam lembaga suruhanjaya.
Katanya, cuti tanpa rekod yang diberikan oleh kerajaan 14 hari setahun itu boleh dianggap sebagai satu lagi cara kerajaan menghargai sumbangan golongan penjawat awam wanita terhadap pembangunan negara."Cadangan itu dibuat atas dasar kebajikan dan menghargai sumbangan penjawat awam wanita yang telah berkeluarga kerana mereka banyak terlibat dalam menguruskan hal keluarga," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam bersama Presiden CUEPACS di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Omar berkata, sejak cuti rehat dikurangkan pada 1 Januari 2009 dan waktu anjal berkhidmat golongan wanita ditamatkan, golongan wanita sering berhadapan dengan masalah kehabisan cuti.Menurutnya, mereka terpaksa menguruskan pelbagai masalah dan hal keluarga yang menyebabkan golongan tersebut habis cuti tahunan dengan lebih cepat berbanding lelaki.
Katanya, meskipun cuti umum sudah banyak di negara ini, ia dilihat masih tidak cukup untuk golongan tersebut kerana mereka turut dibebani dengan banyak tanggungjawab lain.
Sementara itu, kata Omar, cadangan lain yang akan dikemukakan kepada lembaga suruhanjaya adalah berhubung pengeluaran gratuiti lebih awal kepada pekerja yang telah berkhidmat selama 20 atau 25 tahun.
Menurutnya, golongan tersebut dicadangkan boleh mengeluarkan pampasan kerja itu pada kadar 20 atau 25 peratus untuk kegunaan membaiki rumah, mengerjakan umrah dan menyambung pelajaran bagi diri sendiri atau ahli keluarga. Jelasnya, ia dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk mengurangkan kadar golongan penjawat awam yang berhutang.

No comments: